Sabtu, 23 Ogos 2008

DIALEK KELANTAN DAN KEUNIKANNYA

Saya tinggal di daerah Besut, negeri Terengganu, iaitu bersempadan dengan negeri Kelantan. Oleh sebab itu, sebahagian besar penduduk di sini cenderung menggunakan dialek Kelantan berbanding dengan dialek Terengganu. Faktor dialek inilah rasanya menjadi salah satu penyebab berlaku jurang dan kemelut antara orang Besut dengan orang Kuala Terengganu (disebut sebagai oghe Teranung). Orang Besut selalu dianaktirikan dalam segala hal termasuk dalam pendidikan, ekonomi, infrastruktur dan peluang kenaikan pangkat.

Saya seronok bercakap tentang keunikan dialek Kelantan dengan rakan-rakan dari pantai barat. Jika mempunyai ruang masa yang mencukupi saya akan berkongsi contoh-contoh dialek Kelantan yang unik dan menarik ini. Sarjana barat, Walter Armstrong Graham(W.A Graham) ada menulis tentang Kelantan. Buku yang pertama kalinya diterbitkan di Glasgow, Scotland pada tahun 1908 ini memperkatakan pelbagai perkara tentang negeri Kelantan seperi sosioekonomi, cuaca dan juga tentang dialek Kelantan. Kalau larat, bacalah petikan buku tersebut;

Saya tertarik dengan kupasan yang dibuat oleh penulis yang bernama raykinzoku (boleh klik di sini)http://raykinzoku.fotopages.com/?entry=995615 yang mengupas secara terperinci tentang dialek Kelantan. Kalau berkesempatan, jangan lupa ziarah blog ini.

VARIASI BAHASA : DIALEK

Perkataan 'dialek' berasal daripada bahasa Yunani iaitu 'dialektos' iaitu perkataan yang pada mulanya digunakan dalam hubungannya dengan bahasa Yunani pada waktu itu. Dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard/ baku dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain. Dialek selalunya digunakan dalam situasi formal atau rasmi, namun terdapat kecenderungan pengguna bahasa yang mencampurkan unsur dialek dalam penggunaan pada situasi formal.

Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor-faktor geografis, politik, penjajahan, perdagangan, masa, dan seumpamanya. Faktor politik contohnya telah membahagi-bahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil yang mewujudkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang akhirnya menimbulkan pelbagai dialek.

Dialek-dialek tempatan di Semenanjung Malaysia sebenarnya ialah variasi daripada bahasa Melayu. Dalam satu-satu dialek tempatan di Malaysia, terdapat pula ideolek-ideolek, iaitu kelainan pengucapan yang disebabkan oleh perbezaan individu, dan kelainan stilistik yang terjadi sebagai akibat perbezaan konteks. Semua kelainan ini disebut dialek, tetapi penutur-penuturnya masih boleh saling bersefahaman antara satu sama lain. Fonemena seperti inilah yang telah menarik perhatian ahli-ahli bahasa untuk membuat kajian mendalam terhadap dialek-dialek tersebut.

Terdapat beberapa unsur yang membezakan sesuatu dialek dengan dialek yang lain, antaranya ialah;

1 Sebutan; contohnya, perkataan `air' disebut dalam pelbagai dialek seperti ayaq, ayo.

2. Tatabahasa; struktur ayat pasif dalam dialek Kelantan misalnya boleh menyebabkan berlaku silap faham, contohnya ayat 'Saya ke hospital untuk disuntik oleh doktor' akan menjadi "Saya gi spital cocok doktor" (Kasihan doktor di hospital yang disuntik oleh pesakitnya, bukannya dia yang menyuntik pesakit!)

3. Kosa kata ; contohnya, berlari dalam dialek Kelantan disebut hungga, manakala mendung disebut sebagai jo'ong. Bekwoh (dialek Kelantan) sama maksudnya dengan makan gulai di Terengganu yang membawa maksud kenduri. Rakan saya dari Melaka tertanya-tanya apabila saya memujinya dengan perkataan 'jangok' (cantik/ suka berhias)

4. Kata ganti nama diri; contoh ambo dan kawe (dialek Kelantan bermaksud saya), hang (dialek utara bermaksud kamu)

Bersambung...

Jumaat, 1 Ogos 2008

Penggunaan Slanga Dalam Kalangan Remaja.

Hari ini saya mengajarkan tajuk Dinamika Bahasa Melayu iaitu Variasi Bahasa kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 Bawah. Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Apabila diajukan pertanyaan kepada mereka apakah yang dimaksudkan dengan 'slanga', pelbagai jawapan diberikan. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan (saya fikir pelajar itu merujuk kepada telor percakapan)dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa, pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan.

Sebenarnya slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeda dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member sound dsb

Penggunaan bahasa bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu. Semasa saya belajar di universiti lebih 20 tahun yang lalu, penggunaan bahasa slanga telahpun digunakan. Seingat saya, perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'ayam' (gadis) dan 'jambu'(cantik) sudah menjadi mainan mulut para mahasiswa pada masa itu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Pada hari ni penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama pada era teknologi maklumat dan juga melalui penggunaan SMS. Kadang-kadang pening juga kepala saya memikirkan maksud perkataan cikaro, usya, hampeh, kantoi, skema, meletup, poyo, cengkodok, dan banyak lagi. Dalam bentuk tulisan, bahasa slanga bukan saja digunakan dalam bahan bacaan ringan seperti komik, malah majalah hiburan turut mempopularkan bahasa slanga ini.

Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi. Kalau memberi salam sudahpun salah, saya bimbang masyarakat kita pada hari ini tidak lagi sejahtera kerana diberi salam yang entah apa-apa maksudnya (askum ???)

Saya juga tersenyum apabila pelajar saya bertanya, "Mengapa cikgu guna bahasa skima sangat dalam blog dan friendster cikgu?" Jawapan saya, sebagai guru, saya perlu jadi model penggunaan bahasa yang baik dan tepat. Kalau guru sendiri yang turut menggunakan bentuk slanga, murid-muridnya apatah lagi. Kata pepatah, kalau guru kencing berdiri, murid-muridnya akan kencing berlari"

Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.

Peranan kita para guru, kita perlu menjelaskan perkara ini kepada pelajar agar pelajar dapat membezakan penggunaannya dalam variasi formal dan tidak formal. Gunakanlah jenis bahasa yang betul pada tempat yang betul!

Gunakan tanda sempang dengan betul, nanti kena lempang!

Saya dapati, belakangan ini terdapat ramai pengguna bahasa yang tidak menggunakan tanda baca dengan betul terutamanya tanda sempang (...